Tuesday, July 17, 2012

Halalkah sembelihan orang Kristian hari ini?

Kalau patah kaki kena jumpa pakar tulang,
kalau sakit jantung kena jumpa pakar jantung,
kalau sakit hati kena jumpa abuya ISMA,
kalau sakit jahil kena jumpa si bijaksana.

Rupanya "fatwa" aku telah tersebar dengan meluas. Si pemfitnah aku yang masih belum menjawab soalan2 aku mahu menyerang aku dengan "fatwa" yang aku keluarkan. Menggunakan segala kabel dan terusan yang dia tau. Ah, dia orang jahil. Hanya pakar tulang. Bukan pakar fiqh.

Sekapur Sirih


Sesiapa yang mengenali aku dari awal aku di sini, mereka pasti tahu pandangan awal aku tentang makanan dan sembelihan yang halal. Sangat tegas dan jumud. Itu pandangan lama aku dengan tahap keilmuan dan kajian aku di waktu itu. Ayam Adelaide Poultry dan Gourmet Chicken pun syubhat. Harus makan hanya kerana darurat.

Baru-baru ini, sahabat aku Abu Zaid, mungkin aku menganggap beliau sebagai sheikh aku untuk hal ini. Beliau telah membuat aku memulakan kajian tentang kehalalan sembelihan ahli kitab hari ini. Ketika beliau mengeluarkan fatwa tersebut, tiada siapa yang layan, tiada siapa yang endah.

Pada awalnya aku masih meragui tentang status halal tersebut. Tapi selepas 2 orang mentorku Abul Wafa dan Kapten Hafiz juga berpandangan yang sama, UFB juga bersama2 dengan mereka, aku mulakan kajian dan analisa tentang pandangan tersebut. Akhirnya, aku rumuskan sembelihan ahli kitab pada hari ini adalah halal.

Pandangan ini juga pandangan milik ulamak Saudi yang paling aku minati Imam Ibn Uthaimin rah. Lagilah membuatkan aku rasa mesti ia punya asas yang kuat.




Perbahasan

Secara ringkas, aku membahagikan makanan halal kepada 2 bahagian.
1. halal sembelihan
2. halal penyediaan

Manakala halal sembelihan terbahagi kepada 2 juga :
1. sembelihan muslim
2. sembelihan ahli kitab

Begitu juga halal penyediaan mestilah halal dari sudut penyediaan dan pemprosesan.

Fokus utama perbahasan yang akan aku bawa adalah sembelihan ahli kitab. Dalil utama yang menjadi hujah tentang halalnya sembelihan ahli kitab adalah :

 'Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu' (al-Maidah ayat 5)


Imam Ibnu Qudamah dalam al-Mughni (13/293) menyatakan bahawa : 


"Ijma' ulama' membenarkan memakan daging sembelihan ahli kitab! Kerana firman Allah swt : 'Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu' al-Maidah ayat 5. al-Bukhari berkata : Ibn Abbas ra. berkata : 'Makanan mereka bermakna daging yang disembelih oleh mereka"

Perbahasan 1 : Adakah orang Kristian zaman sekarang diiktiraf sebagai ahli kitab yang dimaksudkan dalam surah al-Maidah ayat 5?


Jawapannya adalah ya. Mereka masih kekal ahli kitab. Allah telah menghalalkan sembelihan mereka sedang Allah tau kekufuran mereka.

…padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah). (Surah al-Baqarah ayat 75)


Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. (Surah at-Taubah ayat 31)


Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih 'Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah,dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). (Surah an-Nisa' 171)


Terlalu banyak Allah menyatakan kesesatan dan kekufuran kaum ahli kitab sehingga tidak mampu untuk aku membawanya ke sini tetapi Allah masih menghalalkan daging sembelihan mereka. Oleh itu, sangat jelas pandangan yang mengatakan ahli kitab zaman sekarang lain dari dengan zaman dulu adalah sangat lemah. Nyatakan kepada aku apa yang berbezanya?


Perbahasan 2 : Adakah teknik penyembelihan mereka halal menurut Islam?


Ya, ia halal kerana setelah Allah mengiktiraf sembelihan mereka adalah halal. Maka apa yang diajar oleh agama mereka atau apa yang diiktiraf oleh agama mereka maka ia halal untuk orang Islam. Sudah tentulah berbeza, sebab mereka menyembelih cara mereka, bukan cara Islam. So, untuk membandingkan cara sembelihan mereka dengan kita adalah amat dangkal sekali. Apa pun aku berpegang kepada maqasid (maksud) sembelihan itu sendiri iaitu mengeluarkan darah. Jika pasti ia dibunuh dengan cara tidak mengeluarkan darah, maka ia haram dimakan seperti kaedah renjatan elektrik atau mencekik.

Imam Ibn Uthaimin rah. membahagikan hal ini kepada 3 senario :
1. Kita tahu bahawa ia disembelih menurut jalan yang betul. Maka daging ini Halal. 
2. Kita tahu bahawa ia tidak disembelih menurut jalan yang betul. Maka daging ini Haram. 
3. Kita tidak pasti, tidak tahu samada disembelih menurut cara jalan yang betul atau tidak. Hukum didalam kes ini adalah dagingnya Halal, dan tidak wajib bertanya atau mencari bagaimana ia disembelih, dan apakah disebut nama Allah atau tidak" 



(Fatawa Islamiyyah, 3/415). 


Apa pun Islam tidak mengajar kita untuk bertanya. Dari A'isyah ra. bahawa beberapa orang telah datang kepada Nabi SAW dan berkata : 


"Beberapa orang telah membawa daging kepada kami, Kami tidak tahu sama ada mereka menyebut nama Allah atau tidak? Baginda berkata : Kamu ucapkan sendiri kemudian makanlah" [HR al-Bukhari #5507] 


Perbahasan 3 : Bagaimana para sahabat r.hum berinteraksi dengan sembelihan ahli kitab.

Para sahabat r.hum ialah manusia yang paling memahami hadis2 Nabi. Oleh itu, wajib ke atas kita memahami hadis2 sebagaimana mereka memahaminya.

Ali bin Abi Talib ra. yang berkata: Tidak ada salahnya memakan haiwan sembelihan kaum Nasrani Arab. Akan tetapi jikalau kamu mendengar orang yang menyembelih haiwan itu menyebut suatu nama selain dari nama Allah maka janganlah kamu makan, dan jikalau kamu tidak mendengar nama apakah mereka sebut (maka makanlah) kerana Allah sememangnya telah menghalalkan memakan hasil sembelihan mereka dalam suasana Allah sedia mengetahui kekafiran mereka. (HR Bukhari # 5507)

Begitu juga atsar ini,Telah bertanya seorang lelaki kepada Abu Darda samada bolehkah dia memakan daging seekor kambing yang telah diberikan kepadanya, yang telah disembelih sempena hari perayaan Gereja St. George. Abu Darda menjawab: Ya Allah ! Maafkanlah ! Bukankah mereka itu kaum Ahli Kitab, di mana makanan mereka adalah halal bagi kami dan makanan kami halal bagi mereka ? Abu Darda kemudian menyuruh lelaki tersebut untuk memakan daging kambing tersebut. (HR Tabari melalui Tafsir al-Maragi, 5/111)

Perbahasan 4 : Teknik penyembelihan ahli kitab hari ini.

Aku sudah membuat beberapa kajian tentang hal ini. Walaupun hukum asalnya adalah tidak perlu bertanya. Cukup sekadar kita berada di negara ahli kitab. Tetapi aku sengaja meneruskan kajian aku dengan menghubungi beberapa pusat sembelihan yang besar, antaranya Ingham dan Comgroup dengan bertanya SOP cara sembelihan di pusat masing2 dan adakah agama Kristian mengiktiraf kaedah sembelihan tersebut.

Jawapannya adalah mereka "stun" dan potong leher. Nah, sama saja dengan kaedah pusat sembelihan halal, mereka "stun" dan potong leher juga. Apa beza? Maqasid sudah tercapai. Jawapan tentang agama Kristian mengiktiraf atau tidak. 1 menjawab kaedah mereka adalah yang terbaik dan tidak menyakitkan haiwan dari kajian yang mereka jalankan, Kristian mengiktiraf sembelihan yang tidak zalim. Lagi 1 menjawab, potong leher dan keluarkan darah adalah warisan nenek moyang kami yang beragama Kristian cuma ditambahbaik dengan teknologi hari ini.

Aku meneruskan pertanyaan aku kepada pihak Church melalui seorang rakanku. Jawapan yang diberi adalah Kristian takda cara yang spesifik untuk menyembelih haiwan. Tapi kami mewarisi kaedah yang sama dengan Muslim iaitu potong leher. 1 sample tidak cukup, aku terus bertanya kepada rakan yang berpegang dengan Kristian orthodox. Jawapannya juga hampir sama. Tiada kaedah spesifik, yang penting bersih.

Aku berpendapat, "stun" dan sembelih adalah kaedah yang lebih baik dari ikat kaki, tarik dan rebahkan. Kemudian jerit2 di telinga lembu dengan takbir yang jelas zalim terhadap haiwan sembelihan. Kaedah ini jika dibandingkan dengan kaedah sembelihan di barat adalah jauh lebih teruk.



Daripada penerangan Dr. Kamarul di group MYPSA, jelas kaedah "stun" dan sembelih dilakukan di pusat sembelihan yang beliau pergi. Maka jelas kaedah tersebut adalah halal menurut Kristian dan Islam. Pasal si penyembelih tak baca apa2, itu bukan masalah kita orang Islam. Itulah kaedah yang diiktiraf oleh agama mereka. Halal untuk mereka, halal untuk kita. Haram untuk mereka, haram juga untuk kita. Itulah kaedahnya.


Perbahasan 5 : Syarat memakan sembelihan ahli kitab.


Bila para ulamak membincangkan tentang kebolehan memakan sembelihan ahli kitab. Mereka akan menyebut di negara ahli kitab. Kerana di situ puncanya. Di negara Islam, hal ini tidak berbangkit. Di negara ahli kitab, wujud bantahan terhadap sembelihan Islam. Wujud juga kelompok2 yang menjaja sijil halal yang menyebabkan Islam menjadi fitnah. Di antara syarat2nya adalah :


1. Negara itu majoriti beragama ahli kitab. Selagi mereka majoriti, selagi itu ia dibolehkan. Lebih 1% atau 0.0001% tiada masalah.
2. Negara itu adalah warisan ahli kitab. Sebagai contoh, orang barat memang beragama Kristian turun temurun. Adapun sekiranya Negara Jepun dan Hongkong tiba2 mengaku negara Kristian, maka ia tidaklah diiktiraf kecuali selepas diperiksa.
3. Orang Kristian mengiktiraf sembelihan tersebut.



* 1,2,3 bukan turutan. Tetapi punya nilai yang sama.

Perbahasan 6 : Hikmah



Aku melihat pembenaran Islam untuk kita makan sembelihan ahli kitab punya hikmah yang sangat luas. Ia jauh lebih daripada akal kita untuk berfikir. Aku cuba senaraikan apa yang aku lihat.


1. Kaum ahli kitab jelas menguasai dunia. Orang Islam terpaksa pergi ke negara mereka untuk menimba ilmu atau mengimport daging dari mereka. 


2. Kaum ahli kitablah yang memperjuangkan tentang animal rights. Jelas merekalah yang menguasai maqasid sembelihan itu sendiri.


3. Ia sebagai ruang untuk kita bersangka baik terhadap kawan2 kita yang makan sembelihan ahli kitab. Walaupun mereka tidak tahu tentang hal ini. At least, kita punya ruang untuk bersangka baik bukan?

4. Ia sabagai ruang untuk kita berdakwah kepada kaum ahli kitab dengan dapat duduk dan makan bersama2 mereka. Tidaklah nampak kita terlalu asing dan janggal. Tidak juga kita membuatkan mereka rasa pelik dengan kita.



5. Ia sebagai rukhsah untuk kita. Cuba bayangkan, orang yang tinggal di Gawler kena pergi ke bandar Adelaide untuk mendapatkan daging halal. 

Kesimpulan awal

Setelah hujah dan dalil ditegakkan. Maka haram untuk aku menyembunyikan al-Hak. Aku kongsikan juga pandangan Imam kepada Ikhwanul Muslimin, PAS, IKRAM dan ISMA tentang memakan sembelihan ahli kitab.

Berkata Prof. Dr. Yusuf Qardhawi (DYQ), apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan sebagai halal oleh kaum Ahli Kitab adalah juga halal bagi kita sekalipun kaedah sembelihan mereka berlainan dengan kaedah sembelihan kita. Dan apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan haram oleh mereka maka kita juga menerima keharamannya (iaitu dengan tidak memakannya). Apabila mereka kaum Ahli Kitab melakukan penyembelihan, mereka menyembelih dengan tujuan agar sembelihan mereka itu adalah halal dijadikan sebagai makanan mengikut syarat-syarat agama mereka. Ini adalah merupakan hujah pendapat sebahagian dari para fuqaha Mazhab Maliki.

Dari keterangan ini, maka dapat kita yakini bahawa daging-daging yang dimpot dari negara-negara Ahli Kitab seperti ayam dan lembu adalah halal untuk kita makan sekalipun ada kemungkinan bahawa ia telah disembelih dengan menggunakan kejutan elektrik atau apa-apa yang seumpama. Asalkan sahaja mereka kaum Ahli Kitab berpendapat bahawa kaedah ini adalah halal menurut syari'at agama mereka maka ia juga adalah halal untuk kita. Inilah sebenarnya maksud tujuan surah al-Maidah yang telah menghalalkan sembelihan mereka.

(Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 62.)


Selain DYQ, ia juga pandangan Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili salah seorang pakar dalam fiqh muqarran zaman ini. Jika aku keluarkan pandangan UFB, korang akan kata aku tidak adil. Maka aku kongsikan pandangan Assoc. Prof. Dato' Dr. Mohd Asri Zainal Abidin al-Oxfordi yang aku setuju tentang sembelihan ahli kitab. Begitu juga tulisan mentorku, Kapten Hafiz Firdaus.

Oleh itu, amat jelaslah Hungry Jack, Red Rooster, KFC, Steakhouse dan lain2 adalah halal dimakan. Aku tangguhkan McD kerana telah dilaporkan kepada aku bahawa mereka menggunakan pan dan griller yang sama untuk memasak babi dan daging halal lain. Oleh itu, ia tidak halal kerana menyediaan. Jika sesiapa ada kelapangan, mohon hubungi pihak McD untuk mendapatkan SOP mereka yang sebenar. Sebagaimana penyediaan kedai2 pizza dan Subway juga tidak halal.

Kesimpulan akhir


Allah s.w.t telah menghalalkan sembelihan ahli kitab. Siapa diantara kita untuk mengharamkannya. Aku tidak memaksa orang untuk memakannya. Tetapi ada pihak yang begitu beriya-iya mahu mengharamkannya, berkempen di sini dan sana, jemput datangkanlah dalil2 nya. Jawablah dengan ilmiah, bukan sentimen. Bukan baling batu sembunyi tangan. Adakah itu cara kamu berhujah? Sungguh memalukan! Sikap pihak seperti inilah yang memandulkan agama dan membantutkan percambahan ilmu. Pihak ini suka melihat kawan2 nya hidup dengan kebodohan dan ketaksuban yang tiada kesudahan. Amat dangkal sekali! Aku akan mengadakan sesi interogasi tentang hal ini nanti. Aku jemput sesiapa yang mahu membantah, hadirkan diri.

Siapa yang mahu mengatakan sembelihan ahli kitab hari adalah haram, datangkan dalil-dalil kamu!

ditulis oleh,
Abu Fedora al-Turkistani