Friday, August 31, 2012

Warkah terbuka buat anakku Fedora Erayna..

Duhai anakku Fedora,

Hari ini umur kau sudah 3 bulan. Bermakna aku sudah punya 3 bulan pengalaman menjadi taiko kepada engkau. Mungkin angka 3 bulan amat kecil jika dibandingkan dengan nenek engkau yang membesarkan aku. Tapi jika dibandingkan dengan mereka yang masih belum berkahwin atau masih tidak punya anak, aku lebih daripada mereka. Lepas kau dah faham bahasa sikit, kau banyak bunyi aku "triangle choke" kau!

Duhai anakku Fedora,

Jika kau diizinkan Allah untuk terus hidup di bumi ini, blogger masih lagi hidup, kau akan dapat membaca surat terbuka yang aku tujukan kepada engkau ini. Aku mengharapkan kau menjadi seorang yang berani dan adil suatu hari nanti. Aku mengharapkan ketika itu, kau sudah memiliki ibu tiri dan saudara tiri. Koh koh koh...

Duhai anakku Fedora,

Tujuan aku menulis surat terbuka ini kepada engkau adalah supaya engkau belajar daripada pengalaman yang berjaya aku kutip hingga hari ini. Aku pasti ia amat berguna untuk engkau suatu hari nanti. Jika ketika engkau baca surat ini aku sudah tiada, ketahuilah bahawa aku tinggalkan warkah ini untuk kau kerana aku sayangkan kau dan aku mahu kau belajar sesuatu daripada surat ini.

Duhai anakku Fedora,

Aku mengharapkan engkau belajar pandai-pandai dan menjadi doktor perubatan. Bila engkau menjadi doktor perubatan ramai orang akan menghormati kau. Kata-kata engkau akan dipercayai. So, mudahlah kau untuk membuat perniagaan, jual barangan "direct selling" dan juga bercerita. Ya, bercerita cerita bohong dan palsu pun pasti akan ada yang percaya.

Duhai anakku Fedora,

Tidak cukup kau menjadi doktor perubatan biasa, aku mahu kau menjadi doktor pakar. Tapi jangan jadi pakar tulang kerana kau tu perempuan, mana larat. Sedar diri sikit. Tapi jangan sampai jadi pakar saja, rajin-rajin buat "short course", sub-specialist, dan apa-apa yang boleh menenuhkan "signiture" engkau nanti. Aku pasti kau akan dijilat oleh ramai orang. Ketika itu, kau akan lihat orang politik juga menjilat kau walaupun kau tidak menyokong parti yang dia sokong secara dasarnya.

Duhai anakku Fedora,

Setelah engkau menjadi doktor pakar yang hebat. Aku cadangkan kau masuk menjadi pensyarah di fakulti perubatan di universiti. Di sana engkau boleh tunjuk "terer" di hadapan budak-budak yang baru nak jadi doktor. Di sana, tangga gaji kau boleh berlipat-lipat. Kau juga ada peluang mendapat gelaran assoc. prof dan mungkin prof di sana. Dalam masa yang sama, kau boleh beritahu kawan-kawan kau yang kau mahu mendidik anak bangsa. Nampak macam kau seorang yang ikhlas. Aku pasti ramai kawan-kawan kau akan kagum dengan engkau.

Duhai anakku Fedora,

Ketika umur engkau berada di penghujung 30an atau di awal 40an, buatlah PhD di luar negara. Jika boleh, kau tunggu sehingga tangga gaji kau 54 atau mendapat assoc. prof baru kau melanjutkan pengajian. Aku pasti kau akan jadi golongan tua di sana. Aku pasti pangkat kau paling tinggi daripada pelajar PhD lain. Budak undergrade jangan ceritalah. Kau boleh kutuk je dia orang "worst than your student in Malaysia". Kau pasti akan dijilat oleh segelintir calon-calon PhD dan warga PR di sana. Kebarangkalian untuk kau menjadi pemimpin pelajar-pelajar pasca siswazah amatlah cerah. Ketika itu, kalau kau salah guna kuasa pun, penjilat-penjilat engkau akan kata kau betul dan kau benar.

Duhai anakku Fedora,

Dengan pangkat dan kepakaran yang kau miliki ketika itu, engkau mungkin jauh lebih hebat atau sama taraf saja dengan pegawai-pegawai di MSD dan kedutaaan. Oleh itu, kau akan dihormati oleh mereka. Ketika itu, kau akan dijilat oleh politikus untuk kepentingan politiknya. Hati-hatilah engkau ketika itu. Kerana engkau akan dipergunakan. Jika engkau lalai, engkau akan termasuk ke dalam perangkap politikus yang akan merosakkan hidup engkau. Oh, jika mereka tidak mengenali engkau, pastikan engkau memperkenalkan diri engkau. Tulis penuh nama dan pangkat engkau ketika mengutus email atau menulis apa-apa, kalau boleh jadikan ia sebagai "signiture". Lagi tebal berbaris-baris "signiture" engkau, lagi melampau penjilat kau akan menjilat kau. Sebagai contoh :

Professor Tun Dr. Ir. Hajjah Fedora Erayna al-Turkistani AMN. BTN. KMM.
MBBS, JKK, ISMA, IKRAM, JIM,
AUSIS, MISSA, IICSA, ACCA, PDF,
Fellowship of MYPSA, KLIA, PAS,
Dictatorship of Yayasan Sofa.

Duhai anakku Fedora,

Dengan umur engkau yang lebih tua, orang muda akan hornat engkau atau terpaksa hormat kerana engkau lebih tua. Engkau jangan risau untuk menipu, berbohong atau membuat tuduhan melulu. Kerana semua itu akan disangka atau dianggap benar. Walaupun kau tidak mampu membuktikan engkau benar. Jika ada orang muda yang bangkit mengkritik tindakan engkau, gunakan teknik ahlul bidaah, katakan kepada kawan-kawan kau budak itu tidak hormat orang tua. Inilah cara biasa dilakukan bila ahlul bidaah gagal membuktikan kebenaran hujah mereka. Cop dan lari.

Duhai anakku Fedora,

Untuk memantapkan lagi "kemaksuman" engkau, kau hanya perlu bermain-main dengan beberapa ayat Quran untuk menunjukkan kau orang alim. Bila doktor pandai agama, kau buatlah majlis mengumpat sorok-sorok pun dianggap al-hak. Kau ajar orang kefahaman yang salah dari quran atau hadis pun akan ada yang tetap menjilat. Terutama kaki-kaki jilat. Kalau ada calon PhD bidang Geografi, kau akan lihat dialah yang akan jadi penjilat tegar engkau walaupun dia baca al-Fatihah pun tak betul.

Duhai anakku Fedora,

Doktor kalau pandai agama sikit pun pasti akan ada yang taksub. Untuk menjadikan engkau dijilati dengan taksub, kau masuklah mana-mana gerakan hizbi. Sama ada IKRAM atau ISMA. Anggota-anggota mereka akan mengangkat engkau seperti "ayatolla" atau "abuya". Walaupun kau punya jahil tahap jahil merakkab, kau tetap menjadi idola. Kau ajar akidah yang salah pun, pentaksub-pentaksub kau akan jilat. Kau ajar fiqh songsang pun pentaksub-pentaksub kau akan jilat. Kau akan dianggap ulamak. Jika majlis engkau bertembung dengan majlis ilmuan yang sudah pasti lebih hebat daripada kau, majlis engkau tetap akan dihadiri oleh penjilat-penjilat dan pentaksub-pentaksub engkau. Ketika itu, jika engkau disabitkan bersalah di mahkamah pun, akan muncul saksi-saksi palsu yang berada di tempat kejadian. Bahkan akan muncul ahli-ahli kasyaf yang akan membaca niat engkau. Pastinya niat kau akan dinilai ikhlas dan baik. Ketika itu, kau jangan belajar dengan orang alim, kau belajar saja dengan si penyebar hadis palsu tau.

Duhai anakku Fedora,

Jika ada kawan kau yang punya pangkat yang sama dengan kau terbuat salah. Jangan tegur dia walaupun dia sudah buat salah. Walaupun engkau sudah tahu tindakan atau pandangan dia salah, kau biarkan saja. Kau putarlah apa pun, janji orang lain yang salah manakala rakan sejawat engkau nampak betul. Ini namanya politik kerja. Sembunyikan saja kebenaran, biarkan rakan kau itu hanyut dengan kebodohannya. Dalam masa yang sama, rakan kau tu akan dimalukan kerana kebodohannya. Kau akan dilihat lebih hebat daripada rakan engkau nanti. Mungkin kau akan jadi dekan dahulu walaupun kau lagi muda daripada dia.

Duhai anakku Fedora,

Aku rasa cukuplah beberapa alasan kenapa engkau perlu menjadi doktor dan beberapa panduan yang kau perlu lakukan selepas engkau menjadi seorang doktor. Aku harap kau belajar rajin-rajin dan menjadi seorang muslimah yang berani dan adil. Berani mengatakan al-hak walaupun nyawa engkau diancam seperti Imam Ahmad rah. dan adil dalam mempertahankan al-hak walaupun engkau akan dipenjara seperti Imam Ibn Taimiyah rah. Tiada wasiat yang lebih tinggi nilainya daripada aku mewasiatkan kepada engkau supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, lazimilah sunnah Nabi SAW yang sahih dan sentiasalah engkau menelusuri jalan para salaf.

Duhai anakku Fedora,

Ingatlah wahai anakku, berlaku adillah kamu kepada sesiapa pun, sesungguhnya itulah jalan takwa. Jangan kamu takut mendengar kebenaran walaupun ia diucapkan oleh musuh kamu. Kaji dan analisalah, insyaAllah kamu akan diberi pentunjuk. Jangan kamu takut berseorangan kerana al-Jamaah itu bukanlah pada bilangan tetapi pada keteguhan engkau menjunjung al-Quran dan as-Sunnah dengan kefahaman salaful ummah. Akhir kata daripada aku, jangan sesekali kamu takut atau gentar kepada makhluk tapi takutlah engkau hanya kepada Allah.

daripada boss,
Abu Fedora al-Turkistani